Parit di hadapan rumahku mengalir lesu. Bukan seperti sungai yang terakam di dalam novel Sungai Mengalir Lesu karya A.Samad Said. Tiada tin, botol dan sampah yang hanyut. Tetapi yang tinggal adalah parit yang kehilangan khazanahnya. Tiada lagi ikan lundu, tiada lagi udang galah, tiada lagi pokok benta, tiada lagi ikan baung, tiada lagi kangkung yang memanjat tebing. Yang tinggal hanya air yang tohor lagi cetek, berwarna coklat seperti milo cair, mengalir malas dan tidak bermaya.
Hatiku menjadi hiba. Teringat zaman kanak-kanak yang pebuh keriangan. Di mana kawan-kawan? Di mana Jamal, di mana Amat, Di mana Mail, di mana Ajik?Mereka kawanku berkubang. Di parit inilah kami berkubang. Mandi telanjang. Pakaian entah ke mana. Campak sahaja di pokok ubi tepi parit. Tawa riang kami bergema di perut parit yang mengalir deras. Kami berenang. Macam-macam gaya. Kuak lentang. Kuak rama-rama. Entah apa lagi. Yang penting kami tidak lemas. Tidak fikir mati. Yang penting seronok. Kami main baling tanah. Terkena batang hidup, terkena lubang telinga kami tak kisah. Tanah masuk telingapun kami tak kisah. Itu sebab budak dahulu banyak curik (tahi telinga). Tunggulah.Balik rumah tentu kena pulas telinga. Biasanya kakak akan menunggu aku di kaki tangga. Dengan botol minyak gas dan kain untuk menyental tanah yang melekat di cuping telinga. Rindunya aku saat itu...
Tuesday, March 30, 2010
Indahnya Berkubang
Dicatat oleh baharuddin sairi di 7:33 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment