Tahniah
kota Melaka maju 2010
bandar hilir menyimpan duka sejarah
penjajah Portugis dan Belanda menjadi megah
kota A-famosa tertegak angkuh
bangunan berwarna merah kukuh
darah pahlawan mengalir duka di kuala sungai
sedang bunga api gemerlapan menyambut tawa
anak-anak muda yang buta sejarah
di larut malam.
Tahniah
kota Melaka maju 2010
pelancong menangkap gambar tugu bersejarah
pelancong menangkap gambar tugu berdarah
untuk dijadikan album kenangan
bahawa misi suci nenek moyang telah berjaya
menakluk jiwa raga bangsa Melayu
untuk dijadikan ceritera dan hikayat anak cucu
sebelum tidur.
Tahniah
kota Melaka tidak rebah
kalau tidak papan di Jawa akan didirikan
tahniah kota Melaka semakin gagah
semarak jiwa pahlawan silam
bukan sekadar menjadi monumen hikayat
bangun dari sebuah kematian
hidup dengan roh Jebat Tuah
bebaskan fikiran
bebaskan ideologi
bebaskan jiwa
bebaskan segala
dari penjajah alaf baru.
Tahniah
Melaka kota pahlawan
jiwa raga watan berikan.
Sunday, October 24, 2010
Kota Melaka Perkasa (Sempena Melaka Maju 2010)
Friday, October 22, 2010
Belantara Sepi Seorang Tua
Sepi seorang tua
adalah belantara yang kehilangan segala
tiada kicauan beburung pagi
tiada desir angin bertamu
tiada kocakan ikan di lubuk sungai
tiada lagi tiupan seruling
segalanya sepi.
Hari-hari sepi seorang tua
penuh emosi dan lara
penantian suatu penyeksaan
daun-daun usia berguguran lelah
harapan tinggal harapan
sepi menjadi teman
ke hujung hayat.
Sepi hati seorang tua
adalah belantara yang kehilangan segala.
Saturday, October 16, 2010
Monolog Anak Buangan
Izinkan aku memanggilmu ibu
walaupun kau telah melontarkan aku
dalam belukar kegelapan hidup
aku yang tidak berdosa menanggung sengsara
cinta kalian telah merobek urat jantungku
cinta kalian hamis bernanah dan palsu.
Izinkan aku memanggilmu ayah
walaupun namaku tidak berbin atau berbinti
darah yang mengalir dalam tubuh garing ini
adalah ombak nafsumu bersama sang kekasih
pengap hangat dan kaku.
Izinkan aku mengembara dalam mimpimu
biarkan aku berenang dalam sungai sesalmu
aku tidak akan biarkan tidurmu dalam tenang
aku akan datang bersama mimpi ngeri
aku akan datang menagih janji
sehingga ke kaki siang.
Esok hari
kami akan buat persidangan anak buangan
kami akan jemput kalian sang pendusta cinta
untuk menjadi ahli persatuan ibu bapa bajingan
selamat datang bertemu anak buangan
kami akan menantimu dalam realiti
kami akan menerjahmu dalam mimpi.
Friday, October 15, 2010
Prolog Rindu Perempuan Melayu Terakhir
Mulakan prolog rinduku dengan nama Allah
bahawa aku adalah perempuan yang tewas
sebelum berjuang dalam gelora muhasabah
ketakutan yang menjalar dalam segenap urat tubuh
membongkar kealpaan emosi sejarah remajaku
yang tergadai di pasar borong peraih cinta palsu
akukah perempuan Melayu terakhir itu?
Prolog rinduku meniti arus mujahadah diri
menyemai emosiku membelai perasaan meresap ke sukma
mungkinkah ada pelangi petang selepas hujan insaf
yang bersedia menjadi jambatan diri menuju ke ufuk taubat
atau aku akan menjadi perempuan Melayu terakhir
yang tewas dalam medan perjuangan nafs.
Rindu Sang Kembara
Rinduku gugur
bersama rintik hujan
bersama desiran bayu
bersama hempasan ombak
bersama kilauan bulan
bersama simbahan mentari
yang bertamu di laman dhuha
dingin bagai salju.
Rinduku
jatuh di terminal KLCC
rinduku tumpah di gerabak keretapi
rinduku tercicir di bangku komuter
rinduku lena di bangku bas Kuala Selangor KL
rinduku lemas di Pulau Mutiara
rinduku menangisi diri
takut dihisab di mahkamah Illahi.
Rindu Sang Kembara
penuh misteri dan ilusi
akukah Sang kembara itu?
Pemimpin, Bujet dan Rakyat
Selamat bersidang para menteri
selamat membentang bujet
selamat menabur janji
selamat menabur bakti
rakyat setia menanti
di hadapan tivi.
Bajet rakyat sore itu
transformasi negara
jangan jadi slogan
jangan jadi igauan
jadikan realiti
budi tuan pasti diingati
di hati akar umbi.
Bajet rakyat sore itu
akan ditanya di laman akhirat
segala janji akan ditagih
segala amanah akan dihitung
segala harapan akan dituntut
di mahkamah AR-Rahman.
Wahai pemimpin budiman
usah enak menabur janji dan harapan
titik peluh rakyat harus dibayar
sebelum menitik dan kering berguguran
ingatlah hari pengadilan
di hadapan AR-Rahman.