BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, March 30, 2010

Indahnya Berkubang

Parit di hadapan rumahku mengalir lesu. Bukan seperti sungai yang terakam di dalam novel Sungai Mengalir Lesu karya A.Samad Said. Tiada tin, botol dan sampah yang hanyut. Tetapi yang tinggal adalah parit yang kehilangan khazanahnya. Tiada lagi ikan lundu, tiada lagi udang galah, tiada lagi pokok benta, tiada lagi ikan baung, tiada lagi kangkung yang memanjat tebing. Yang tinggal hanya air yang tohor lagi cetek, berwarna coklat seperti milo cair, mengalir malas dan tidak bermaya.

Hatiku menjadi hiba. Teringat zaman kanak-kanak yang pebuh keriangan. Di mana kawan-kawan? Di mana Jamal, di mana Amat, Di mana Mail, di mana Ajik?Mereka kawanku berkubang. Di parit inilah kami berkubang. Mandi telanjang. Pakaian entah ke mana. Campak sahaja di pokok ubi tepi parit. Tawa riang kami bergema di perut parit yang mengalir deras. Kami berenang. Macam-macam gaya. Kuak lentang. Kuak rama-rama. Entah apa lagi. Yang penting kami tidak lemas. Tidak fikir mati. Yang penting seronok. Kami main baling tanah. Terkena batang hidup, terkena lubang telinga kami tak kisah. Tanah masuk telingapun kami tak kisah. Itu sebab budak dahulu banyak curik (tahi telinga). Tunggulah.Balik rumah tentu kena pulas telinga. Biasanya kakak akan menunggu aku di kaki tangga. Dengan botol minyak gas dan kain untuk menyental tanah yang melekat di cuping telinga. Rindunya aku saat itu...

Sunday, March 28, 2010

Ketemu Sasterawan Tanahair

Dalam perjalanan hidup singkat ini, aku bersyukur kerana ketemu dengan insan yang dikurnai dengan bakat penulisan yang sarat dengan falsafah hidup. Bermula dengan Allahyarham Othman Puteh di UKM; mantan guruku yang banyak mendorongku untuk tekun menulis tesis cerpen pendek Melayu, diasuh dengan Dr.Zainon Ismail tentang seni dan budaya Melayu; dididik oleh Dr.Shafie ABu Bakar dengan puisi Islam, diajar dengan sikap berani dan kritis oleh Dr.Sahlan Saman, diajak bersikap empati tentang jiwa orang lain oleh Dr.Mawar Shafie dan dibaja dengan nilai sabar yang amat tinggi oleh Dr.Saiful Bahri semasa bergelut dengan penulisan tesis sarjana di UKM. Tidak cukup dengan itu, aku begitu gembira dapat bersalam mesra yang berbunga keintelektualan dengan Dato'Sahnon Ahmad di Sungai Nipah, Dato'Abdullah Husein ketika berkursus di UKM, Dato' A.Samad Said di SMA Batu 38 Sabak Bernam yang hiba untuk menamatkan mogok seni di lembah Bernam, dan yang terdekat 28 Mac 2010, Ahad pagi dapat berbual dan bersalam dengan penulis angkatan muda Faisal Tehrani...sempena pameran buku antarabangsa di PWTC. Aku menjadi sangat kerdil apabila berhadapan dengan mereka. Sememangnya tidak rugi jika kita dapat mengutip bicara sang seniman. Namun apa yang berlaku di negara kita tercinta ini, nama artis lebih dikenali oleh segenap lapisan masyarakat berbanding golongan karyawan! Begitulah nasib sang seniman...

Wednesday, March 24, 2010

Catatan Perjalanan Anak Jawa

Aku membesar bersama lumpur. Lumpur sawah, lumpur laut, lumpur parit, lumpur jalan. Lumpur adalah kehidupan anak tani sepertiku. Aku bangga menjadi anak tani. Temanku sebatang cangkul patah. Bapaku berpesan; jadilah orang berilmu. Aku tinggalkan desa tercinta. Terlontar di tengah kota yang penuh simpang siur watak manusia. Pulau Pinang, aku terlontar dalam pelukanmu. Malayan Teacher Penang atau maktab perguruan Persekutuan Pulau Pinang adalah ibu kandung yang mendidikku menjadi sang guru. Aku rindu pada suara guru-guruku di MTC; antaranya Tuan Haji Rashid yang mengajar matematik, Encik Fakir Miskin guru sains, Cik Hajah Reduan guru bahasa Melayu, Encik Azizan guru sastera dan lainnya biarlah kusimpan dalam diari kenangan. Al-Fatihah andainya ada antara kalian yang telah menemui Allah Taala. Terima kasih cik gu.

Kuteruskan perjalanan ilmu setelah sekian lama aku bergelumang dengan anak murid di beberapa buah sekolah sekitar Sabak Bernam. UKM destinisiku; kerana aku yakin di perbukitan UKM terhimpun taman-taman ilmu. Setelah 8 tahun bergelut dengan ilmu di UKM; alhamdulillah aku mampu merangkul dua ijazah. Terima kasih mantan guruku; Dr.Sahlan, Dr.Saiful Bahri, Dr.Mawar,Dr.Siti Zainon, Dr.Rosnah dan banyak lagi...Al-Fatihah untuk Dr.Othman Puteh yang banyak mendidikku makna kesabaran. Di kaki pawana sore, aku rindu pada teman-teman; Ayub, Hafiz, Mazlan, Yahya, Asmungi...di manakah kalian? Apapun yang berlaku, aku tetap teruskan perjalanan ini; destinisi ilmu tiada bertepi...

Monday, March 22, 2010

Mohon Maaf di Pagi Raya

Aku paling bimbang apabila berhadapan dengan bapa emak mertua di pagi Raya. Dengan bapa emak sendiri tak kisah sangat kerana mereka dah tahu lahir batin anak mereka. Yang aku bimbang bukan pasal apa-apa, cuma aku lemah dalam penguasaan bahasa Jawa halus. Bagaimana aku nak tutur bahasa Jawa halus semasa bermaafan dengan mereka.Aku berasa malu setiap kali hari raya aku akan bercakap dalam bahasa Jawa kasar dengan mereka. Kira-kira macam inilah bunyinya:

'pak, mak aku njalok ngapuro'.

Adik aku pernah menyampuk; 'apa bang, abang nak minta singapura?'

Sejak itu, aku berazam mahu belajar bahasa leluhurku. Terima kasih Cikgu Sobiron Jobri mantan guru besar sk pasir panjang kerana mengajar aku bahasa Jawa halus; walau pun sedikit tetapi berbaloi jugalah. Aku cuba melafazkannya di pagi raya di hadapan bapa emak aku:

'emak, pak, ngaturaken sedoyo kelapatan kulo seng kathah kathah lahir batin dhingopuro'

Emak bapak aku tersenyum. Senyum yang penuh makna...Hari Raya lepas aku dapat sms daripada sahabatku cikgu Zawawi; ucapan mohon maaf di pagi raya yang dikirim oleh sahabatnya dari Jawa. Hatiku cukup gembira. Nak tahu susun atur bicara bahasa Jawa halus tersebut? Bolehlah beritahu saya, tak perlu pengeras, yang penting waras!

Friday, March 5, 2010

Guru oh Guru!

Masih hangat terasa dalam siri usrah kampung bersama Ustaz Fadzlin Taslimin; menurut beliau perkataan guru berasal daripada bahasa Jawa. Sukukata 'gu' berasal daripada perkataan Jawa iaitu 'gugu' bermakna patuh. Manakala sukukata 'ru' pula berasal daripada perkataan Jawa iaitu 'tiru' iaitu ikut. Jelasnya, guru merupakan insan contoh yang harus dipatuhi segala kata, tunjuk ajar dan perintahnya oleh murid. Guru bukan sahaja mengajar ilmu tetapi harus menunjukkan akhlak mulia kepada murid. Dengan itu, murid akan hormat dan patuh akan nasihat guru. Namun tetapi, jika kita melihat senario pada muktahir ini, masyarakat mula curiga dengan keupayaan guru. Di dada akhbar digembar-gemburkan perihal guru yang bermasalah dari segala segi. Justeru, di manakah kedudukan guru pada zaman pasca modernisme ini? Tepuk dada tanya fakulti minda anda ;guna ta'kulan bukan perasaan. Sebagai anak Jawa, saya harus memuja guru. Sajak penyair negara Usman Awang iaitu Guru oh Guru tetap menjadi pujaan hatiku...