BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 20, 2010

Puisi Buat Sang Ratu (Dedikasi Untuk Rima Fakih)

Tahniah,
Kerana kau berani menelanjangkan kesantunan,
Kerana kau berani menelanjangkan kesopanan,
Kerana kau berani merebahkan dada sang lelaki,
di ranjang malu.

Tahniah,
Kerana kau tanpa segan silu membuang malu,
Kerana kau tanpa segan silu mengundang nafsu,
Kerana kau tanpa segan silu meluruhkan kebebasan,
di ranjang hak asasi manusia.

Takziah,
Kerana kebenaran telah dibeli di pasar toleransi,
Aku menjadi pembeli yang keliru,
Aku menjadi pembeli yang haru.

Rima,
Mahkota kemuliaanmu yang kau rangkul,
Suatu hari akan menjadi tanah,
Kembalilah di laman hidayah,
Sebelum beduk kematian bergema,
di ufuk usiamu.

Saturday, May 15, 2010

Bicara Hujan

Hujan yang bertamu di laman subuh
mengusik mimpi lara yang gugur
di ranjang igauan seorang lelaki
mendamba rindu
yang berderai
di tumit
sang primadona.

Hujan berbicara lagi
dengan bulan yang pudar wajahnya
di selimut fajar sidik ungu
aku yang yang kehilangan suara muazin
mengutip daun sesal yang amat
di laman kalbu kelabu.

Hujan berbicara lagi
dengan bahasa yang sopan
umpama perawan malu di sebalik hijab
aku yang berdosa bangun dari ranjang sesal
membasuh tubuh dengan wuduk kudus
dari bicara hujan
yang mencakar kaca jendela
seorang aku
yang mengutip sisa umur
yang tercicir di kala itu
sewaktu hujan berbicara.

Hujan
kapan kau bisa turun lagi
mengajak lelaki berdosa ini
berbicara tentang dosa dan pahala
hujan
kumerindu suaramu...

Thursday, May 13, 2010

Kuala Lumpur Menjerit !

Kuala Lumpur menjerit,
Jeritan pemimpin,
Jeritan perusuh,
Jeritan pengemis,
Jeritan gelandangan,
Jeritan bajingan,
Jeritan bapak ayam.

Kuala Lumpur menjerit lagi,
Jeritan penjual ubat,
Jeritan peraih ikan,
Jeritan penjual koran,
Jeritan penjaja pisang,
Jeritan sang seniman jalanan.

Kuala Lumpur menjerit perit,
Jeritan mat rempit,
Membelah malam membungkus dinihari,
Mengira detik kematian tragis,
Membongkar misteri Kuala Lumpur,
Menghampar dosa,
Mengusung keranda,
Kuala Lumpur rebah,
di dada malam yang panjang...