Bapak
usah kau layan provokasi itu
biarkan ribut prasangka itu menjadi tenang
setenang jiwa laut kalbu para seniman
biarkan zikirmu mengusir lara yang singgah
biarkan sunyimu mengusir gusar yang pasrah
damailah bersama suara muazin
damailah bersama suara marhain
yang sentiasa mendoakan
kesejahteraan bapak.
Bapak
ombak rasamu dalam interlok
membawa suara kasih sayang
membawa suara perpaduan
membawa suara toleransi
membuka lembar sejarah silam
bahawa tanah ini adalah untuk mereka
yang cinta akan kedamaian
yang tahu makna pengorbanan
yang arif makna terima kasih
yang setia
pada bumi bertuah ini.
Bapak
moga kau damai
bersama danau hati seorang seniman
yang setia membaca denyut nadi rakyat
di bumi merdeka ini.
Sunday, January 23, 2011
Warkah Buat Bapak Sasterawan(Dedikasi buat Abdullah Hussain)
Wednesday, January 5, 2011
Puisi Buat Sahabat
Sahabat
kulipat sampul hari-hari semalam
dengan kemas
dan kusimpan
dalam laci memori
agar persahabatan kita
sentiasa hangat
dan mewangi.
Sahabat
ingat sekali aku mengajak kau berlari
di batas waktu
mengejar hari-hari remaja kita
yang tercicir di dada hari
sambil memegang erat tali temali
lelayang cita kita yang megah
terbang di wajah angkasa
dan kita bangun jatuh bersama
dalam lumpur
dalam selut
di kaki sawah kehidupan
yang kini tersimpan
dalam laci umur
yang masih bersisa
entah sampai bila.
Sahabat
masih kusimpan sedihmu
masih kupelihara tawamu
dalam album kesetiaan
yang menjadi pengubat laraku
yang lelah dalam perjalanan ini.
Sahabat
biarkan malamku mengembara
bersama mimpi-mimpi semalam
sebelum siang menjemputku
berkelana
ke alam realiti.
Sahabat
terimalah puisiku
dan simpanlah baik-baik
dalam mimpimu.
Friday, December 31, 2010
Selamat Tahun Baru Kuala Lumpur
Selamat tahun baru
buat warga Kuala Lumpur
selamat tahun baru
buat warga dunia
selamat tahun baru
buat para pemimpin
buat rakyat marhain.
Selamat tahun baru
buat para gelandangan
buat para pengemis
buat seniman jalanan
buat raja jalanan
buat penjual koran
buat penjual gudang garam
buat pemandu teksi
buat penarik beca
buat penjual nasi lemak
buat penebar roti canai
buat tukang gunting
biarkan Kuala Lumpur menjerit
malam ini
sampai rebah di kaki pagi
malaikat maut setia menanti.
Selamat tidur Kuala Lumpur
matikan segala lampu neon
matikan segala maksiat
matikan segala kebejatan
hidupkan pelita iman
di ambang tahun baru
selamat tidur Kuala Lumpur
besok kau bakal bangun
seperti hari-hari semalam
yang tercicir dalam lumpur noda
sampai bila?
Wednesday, December 8, 2010
SALAM HIJRAH BUAT SANG PENDOSA 1
Selamat berhijrah
Sang pendosa
Mari kita mandi di kolam hayat
Lima kali sehari semalam
Hiasi wajah kalian dengan wudhu
Hiasi bicara kalian dengan zikir
Sirami lahan subur sisa umur
Dengan sungai taubat nasuha
Mengalir perlahan dalam diam
Meresap sukmalara hayat.
Selamat berhijrah
Sang Pendosa
Hari makin malam
Umur makin pendek
Jangan biarkan malam berlalu
Tanpa tahajud
Tanpa tangisan
Tanpa taubat.
Selamat berhijrah
Sang Pendosa
Masih adakah esok untuk kita?
Friday, December 3, 2010
Ziarah 1
Terima kasih Al-Rahman
kerana mengizinkan aku berziarah
dari pintu hati ke pintu hati
membawa segunung rahmat-Mu
meluluhkan lahar dosa
dari celahan dan kedutan jemari
sang pendosa
itulah aku.
Terima kasih Al-Rahman
kerana mengizinkan aku berbicara
tentang pahala dan dosa
tentang akhirat dan dunia
yang bakal menjadi pertaruhan
di alam abadi.
Terima kasih Al-Rahman
kerana memberi ruang umur di taman ilmu
mengutip kebesaran-Mu di dada langit
mencampakkan aku di sumur muhasabah
bahawa aku
adalah sang pendosa itu
yang lelah dalam ziarah ini.
Wednesday, November 10, 2010
Surat dari Gunung Merapi
Maafkan aku Mbah Marjan
kerana memuntahkah lahar kematian
tanpa perutusan
tanpa undangan
di lahan subur Yjogkarta
di tumit Merapi berduri.
Maafkan aku warga desa
aku diutus oleh Tuhan
untuk menegur kalian yang berdosa
dengan puing-puing api berdebu
panas menjalar menikam jantung
menggugurkan hujan dosa
di lahan sabar.
Maafkan aku Mbah
kunci yang kuamanahkan selama ini
kurentap dari tanganmu
moga rohmu aman di sana
di gerbang abadi
mengutip janji
pasti.
Monday, November 1, 2010
Sihir Cinta Seorang Perempuan 1
Perempuan itu
adalah ahli sihir abad ini
menjual pujuk goda dan madu kata
menyulam senyum berbisa
menganyam mentera cinta sakti
menyihir kalbu sang lelaki itu
yang rebah di dada malam
tika mimpi lara berlabuh.
Diakah perempuan itu
penyihir cinta sang lelaki
merayu gurindam mengulit lena
mengunyah sihir kata madu
menghampar pujuk rayu
menyulam rindu
di birai memori.
Akukah sang lelaki itu
yang berlari dari belukar fitnah berduri
dari sihir rindu penyihir perempuan itu
dengan mujahadah perasaan yang hanyut
dalam gemulung ombak rindu buta
yang terlerai di nisan khayali
terdampar dalam sepi.
