Selamat tahun baru
buat warga Kuala Lumpur
selamat tahun baru
buat warga dunia
selamat tahun baru
buat para pemimpin
buat rakyat marhain.
Selamat tahun baru
buat para gelandangan
buat para pengemis
buat seniman jalanan
buat raja jalanan
buat penjual koran
buat penjual gudang garam
buat pemandu teksi
buat penarik beca
buat penjual nasi lemak
buat penebar roti canai
buat tukang gunting
biarkan Kuala Lumpur menjerit
malam ini
sampai rebah di kaki pagi
malaikat maut setia menanti.
Selamat tidur Kuala Lumpur
matikan segala lampu neon
matikan segala maksiat
matikan segala kebejatan
hidupkan pelita iman
di ambang tahun baru
selamat tidur Kuala Lumpur
besok kau bakal bangun
seperti hari-hari semalam
yang tercicir dalam lumpur noda
sampai bila?
Friday, December 31, 2010
Selamat Tahun Baru Kuala Lumpur
Wednesday, December 8, 2010
SALAM HIJRAH BUAT SANG PENDOSA 1
Selamat berhijrah
Sang pendosa
Mari kita mandi di kolam hayat
Lima kali sehari semalam
Hiasi wajah kalian dengan wudhu
Hiasi bicara kalian dengan zikir
Sirami lahan subur sisa umur
Dengan sungai taubat nasuha
Mengalir perlahan dalam diam
Meresap sukmalara hayat.
Selamat berhijrah
Sang Pendosa
Hari makin malam
Umur makin pendek
Jangan biarkan malam berlalu
Tanpa tahajud
Tanpa tangisan
Tanpa taubat.
Selamat berhijrah
Sang Pendosa
Masih adakah esok untuk kita?
Friday, December 3, 2010
Ziarah 1
Terima kasih Al-Rahman
kerana mengizinkan aku berziarah
dari pintu hati ke pintu hati
membawa segunung rahmat-Mu
meluluhkan lahar dosa
dari celahan dan kedutan jemari
sang pendosa
itulah aku.
Terima kasih Al-Rahman
kerana mengizinkan aku berbicara
tentang pahala dan dosa
tentang akhirat dan dunia
yang bakal menjadi pertaruhan
di alam abadi.
Terima kasih Al-Rahman
kerana memberi ruang umur di taman ilmu
mengutip kebesaran-Mu di dada langit
mencampakkan aku di sumur muhasabah
bahawa aku
adalah sang pendosa itu
yang lelah dalam ziarah ini.
Wednesday, November 10, 2010
Surat dari Gunung Merapi
Maafkan aku Mbah Marjan
kerana memuntahkah lahar kematian
tanpa perutusan
tanpa undangan
di lahan subur Yjogkarta
di tumit Merapi berduri.
Maafkan aku warga desa
aku diutus oleh Tuhan
untuk menegur kalian yang berdosa
dengan puing-puing api berdebu
panas menjalar menikam jantung
menggugurkan hujan dosa
di lahan sabar.
Maafkan aku Mbah
kunci yang kuamanahkan selama ini
kurentap dari tanganmu
moga rohmu aman di sana
di gerbang abadi
mengutip janji
pasti.
Monday, November 1, 2010
Sihir Cinta Seorang Perempuan 1
Perempuan itu
adalah ahli sihir abad ini
menjual pujuk goda dan madu kata
menyulam senyum berbisa
menganyam mentera cinta sakti
menyihir kalbu sang lelaki itu
yang rebah di dada malam
tika mimpi lara berlabuh.
Diakah perempuan itu
penyihir cinta sang lelaki
merayu gurindam mengulit lena
mengunyah sihir kata madu
menghampar pujuk rayu
menyulam rindu
di birai memori.
Akukah sang lelaki itu
yang berlari dari belukar fitnah berduri
dari sihir rindu penyihir perempuan itu
dengan mujahadah perasaan yang hanyut
dalam gemulung ombak rindu buta
yang terlerai di nisan khayali
terdampar dalam sepi.
Sunday, October 24, 2010
Kota Melaka Perkasa (Sempena Melaka Maju 2010)
Tahniah
kota Melaka maju 2010
bandar hilir menyimpan duka sejarah
penjajah Portugis dan Belanda menjadi megah
kota A-famosa tertegak angkuh
bangunan berwarna merah kukuh
darah pahlawan mengalir duka di kuala sungai
sedang bunga api gemerlapan menyambut tawa
anak-anak muda yang buta sejarah
di larut malam.
Tahniah
kota Melaka maju 2010
pelancong menangkap gambar tugu bersejarah
pelancong menangkap gambar tugu berdarah
untuk dijadikan album kenangan
bahawa misi suci nenek moyang telah berjaya
menakluk jiwa raga bangsa Melayu
untuk dijadikan ceritera dan hikayat anak cucu
sebelum tidur.
Tahniah
kota Melaka tidak rebah
kalau tidak papan di Jawa akan didirikan
tahniah kota Melaka semakin gagah
semarak jiwa pahlawan silam
bukan sekadar menjadi monumen hikayat
bangun dari sebuah kematian
hidup dengan roh Jebat Tuah
bebaskan fikiran
bebaskan ideologi
bebaskan jiwa
bebaskan segala
dari penjajah alaf baru.
Tahniah
Melaka kota pahlawan
jiwa raga watan berikan.
Friday, October 22, 2010
Belantara Sepi Seorang Tua
Sepi seorang tua
adalah belantara yang kehilangan segala
tiada kicauan beburung pagi
tiada desir angin bertamu
tiada kocakan ikan di lubuk sungai
tiada lagi tiupan seruling
segalanya sepi.
Hari-hari sepi seorang tua
penuh emosi dan lara
penantian suatu penyeksaan
daun-daun usia berguguran lelah
harapan tinggal harapan
sepi menjadi teman
ke hujung hayat.
Sepi hati seorang tua
adalah belantara yang kehilangan segala.
