Langit
Murkamu membelah jantung alam
Kilat petir menyumpah manusia dungu
Harga diri berantakan retak wajah seribu.
Langit
Murkamu melontar deras angin
Taufan amarah membelah dada garing bumi
Ombak laut menggulung merangkul lemas diri
Manusia mengutip kaca agama kembali
Setelah menatap peti mati.
Langit
Murkamu menghiris gemunung
Jeritan amarahmu menggegar tingkap jagat raya
Tiada suara
Tiada suara
Sepi
Sepi
Sepi.
ilhamrasa,
baharsm/sg nibong/22/5/13
Wednesday, May 22, 2013
Langit Murka
Saturday, April 27, 2013
Kerusi 1
Kerusi
kerusi kayu
kerusi batu
kerusi plastik
kerusi antik
kerusi murah
kerusi mahal
kerusi hanya satu
yang berebut beribu.
Kerusi
bagai bara
bagai orang tua yang lara
yang menunggu patah
tiang pasrah.
Kerusi
bukan gurauan
bukan mainan
bukan bukan bukan
pasti pasti pasti
diusung mati.
kerusi
kerusi
kerusi
bukan lagi igauan
bukan lagi siulan
bukan lagi jeritan
bukan barang mainan
bukan barang lelongan
tanggungjawab dan harapan.
Kerusi
bukan segala-galanya
kerusi
dalam hati
dalam diri
kerusi
harga diri
iman hakiki
pasti.
Kerusi satu itu
sudah tiada lagi
hilang kaki
hilang insani.
Monday, December 10, 2012
Taman Rimba 1
Menyusur denai uzlah
mengusung payah mujahadah
mengutip bebatuan dosa yang tercicir
di sungai sesal yang deras
tebing usia rebak
diintai rimba suci
bagai perawan asli.
Taman rimba
kumerinduimu.
Kuala Tahan, Pahang....
Wednesday, July 11, 2012
Mencari Sunan 1
Di Makam Sunan 1
Melangkah ke pusaramu
hati ini dicakar sayu
nisan bisu melontarkan kata
tersimpan berabad dalam lahan sejarah
mengapa baru ini kau datang menziarahiku
tika tanah leluhur ini tidak bermaya
dengan lahar gunung merapi dan gegak gumpita
di mana para dai'
di mana para murabi
bawa suaraku ke jagat raya
seru dunia ini dengan paksi keimanan
berakar pohon ketauhidan
di jalan mujahadah
bukan di pohon beringin tua itu
yang menglipur lara dongeng falsafi kuno
rapuh dan tersungkur
di tumit amarah Illahi.
Sunan
maafkan aku yang terlewat
menziarahi rumah dai' yang kau titipkan
dan aku mohon pamitan dari lembah ini
untuk meneruskan kembaraanku
dalam pencarian sunan-sunan
yang setia menanti
ziarahku.
sg.nibong/2012
Wednesday, October 12, 2011
Ampunkan Dosa Ini
Ya Allah,
ombak itu datang lagi
dengan khabar burung hering yang lapar
bangkai manusia terapung dalam ombak dosa
hanyir nuraka membaham alam
rontok segala wajah langit
berguguran lahar murka
aku yang berdosa
nanar kehausan
hidayah-Mu.
Ya Allah,
taufan murka-Mu datang lagi,
gemunung tersungkur menyembah duka
lautan api membelah dada maya pada
kota-kota neon padam rebah segala
di mana harta benda
di mana anak-anak pinak
di mana kerusi parlimen
di mana
di mana
di mana
dalam perut bumi
aku yang berdosa
mendamba ampunan-Mu.
Tuhanku,
izinkan hamba berdosa ini
menatap wajah langit
menunggu cahaya-Mu
buat sekian kali.
baharsm/12/10/2011
Wednesday, June 1, 2011
Salam Terakhir Syuhada (Tragedi Tanah Runtuh)
Sore yang muram
jejari hujan meramas tubuhmu
dada kecil yang tak berdosa
tiada denyutnya
layu
abadi.
Belantara sepi ini
kehilangan riuh suara kalian
tiada lagi marhaban
tiada lagi bacaan Quran
tiada lagi semilir muazin
segalanya tiada
yang tinggal
sepi.
Pemergian kalian
meninggalkan sejuta makna
penuh zikir dan fikir
bahawa
tangis anak-anak yatim
amat mahal nilainya
berbanding kilauan emas.
Semoga kalian lena beradu
dalam tilam kesturi yang harum di sana
sambil menunggu rindu
saat hari kebangkitan.
Salam terakhir buat kalian
dari kami yang berdosa.
pawanasore@blogspot.com
sungai nibong, hujan baru berhenti.
Saturday, March 19, 2011
Tsunami Kau Datang Lagi
Tsunami
kau datang lagi
dengan gempa dan deras taufan
memukul badai di lorong-lorong hitam
di bumi sakura yang layu.
Tsunami
kau datang lagi
membawa khabar kematian
tangis pilu dan rayu yang berlagu
memecah hening bumi sakura
tidak mampu memadamkan api amarah
gemunung ombak merah dan hitam
di bumi Miyagi yang rebah dan kaku.
Tsunami
melontarkan puisi kemanusiaanku
seorang kembara jalanan yang lelah
menelaah seribu peristiwa yang koyak
dimamah kejahilan maknawi
apakah Tsunami akan datang lagi
di pelusuk dunia lain
atau manusia harus bersedia
dengan kafan taubat
kembali kepada-Nya.
Tsunami
Berilah kedamaian pada bunga sakura
yang sedang terluka.
