BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 15, 2010

Pemimpin, Bujet dan Rakyat

Selamat bersidang para menteri
selamat membentang bujet
selamat menabur janji
selamat menabur bakti
rakyat setia menanti
di hadapan tivi.

Bajet rakyat sore itu
transformasi negara
jangan jadi slogan
jangan jadi igauan
jadikan realiti
budi tuan pasti diingati
di hati akar umbi.

Bajet rakyat sore itu
akan ditanya di laman akhirat
segala janji akan ditagih
segala amanah akan dihitung
segala harapan akan dituntut
di mahkamah AR-Rahman.

Wahai pemimpin budiman
usah enak menabur janji dan harapan
titik peluh rakyat harus dibayar
sebelum menitik dan kering berguguran
ingatlah hari pengadilan
di hadapan AR-Rahman.

Sunday, September 26, 2010

Tahajud Cinta 1

Ya Rahman
Ya Rahim
Ya Karim
Tuhan semesta alam.

Dalam dingin dinihari
Kubasuh dosa-dosaku dengan airmata
Betapa gunung penyesalan menimpa perih
Segenap tulang temulang pendosa ini
Berselerakan di laman nurani gersang
menjadi jambatan hidayah insan kerdil
yang rapuh usianya dilanggar amarah nafsu
Terlantar di terminal maut rindu
Tika saat kehilangan hari-hari semalam.

Akukah itu
Yang hanyut dalam ombak dosa
Yang lemas dalam buih noda
Terkapai mencari arus hidayah
Terkapar dalam pencarian.

Akukah itu
Yang mencari tahajud cinta
Atau sang pendosa yang lemas
Dalam mimpi yang lara memeluk subuh?

Wednesday, June 16, 2010

Hati Seorang Lelaki

Hati lelaki
umpama malam
yang kehilangan siang
merindui suria
bertamu di laman nurani
mendamba cinta
mengusir lara.

Hati lelaki
sukar diduga
kerana ia adalah laut dalam
yang penuh misteri
yang penuh ceritera
yang penuh makna.

Hati lelaki
adalah gunung bimbang
yang bakal rebah ke dasar sesal
tewas dengan rayu cinta
seorang perempuan.

Hati lelaki
umpama lilin yang luluh
panas dengan kehangatan cinta
nanar dengan kepalsuan kata
lemas dengan pelukan asmara.

Hati lelaki
tewas dalam cermin kalbu
menang dalam bayang rindu.

Tuesday, June 8, 2010

Gaza I2

Selamat berlabuh
di muara mimpi ngeri semalam
di dada kapal manusiawi berdarah
di pucuk gelombang merajuk pilu
kalian tebarkan jala kasih sayang
pada laut
pada ombak
pada camar
berbekalkan doa wangi jagat raya
yang tercicir di tebing gaza.

Selamat berlabuh
di laman nurani kedamaian
kalian pejuang kemanusiaan
datang dengan dada terbuka
tanpa merapi tanpa mortar
datang dengan jantung bergetar
mengalun zikir rindu-Nya yang tumpah
di tumit gaza.

Selamat beradu
di ranjang syurgawi abadi
beradu mengutip manis cinta bidadari
darahmu masih mewangi di dada gelombang
menebar syahidi memintal rindu ukhrawi
kapalmu berlabuh menitip mimpi indah
rakyat gaza menumpang teduh kasih
pada sebuah kematian yang dicemburi
para malaikat.

Selamat pulang wira bangsa
dengan seribu janji
dengan seribu mimpi
luruskan syaf subuh kalian
dengan jemaah yang berkasih sayang
di mimbar kehidupan
ayuh susun strategi
ayuh luruskan hati.

Wiraku
gaza menantimu penuh rindu...

Thursday, May 20, 2010

Puisi Buat Sang Ratu (Dedikasi Untuk Rima Fakih)

Tahniah,
Kerana kau berani menelanjangkan kesantunan,
Kerana kau berani menelanjangkan kesopanan,
Kerana kau berani merebahkan dada sang lelaki,
di ranjang malu.

Tahniah,
Kerana kau tanpa segan silu membuang malu,
Kerana kau tanpa segan silu mengundang nafsu,
Kerana kau tanpa segan silu meluruhkan kebebasan,
di ranjang hak asasi manusia.

Takziah,
Kerana kebenaran telah dibeli di pasar toleransi,
Aku menjadi pembeli yang keliru,
Aku menjadi pembeli yang haru.

Rima,
Mahkota kemuliaanmu yang kau rangkul,
Suatu hari akan menjadi tanah,
Kembalilah di laman hidayah,
Sebelum beduk kematian bergema,
di ufuk usiamu.

Saturday, May 15, 2010

Bicara Hujan

Hujan yang bertamu di laman subuh
mengusik mimpi lara yang gugur
di ranjang igauan seorang lelaki
mendamba rindu
yang berderai
di tumit
sang primadona.

Hujan berbicara lagi
dengan bulan yang pudar wajahnya
di selimut fajar sidik ungu
aku yang yang kehilangan suara muazin
mengutip daun sesal yang amat
di laman kalbu kelabu.

Hujan berbicara lagi
dengan bahasa yang sopan
umpama perawan malu di sebalik hijab
aku yang berdosa bangun dari ranjang sesal
membasuh tubuh dengan wuduk kudus
dari bicara hujan
yang mencakar kaca jendela
seorang aku
yang mengutip sisa umur
yang tercicir di kala itu
sewaktu hujan berbicara.

Hujan
kapan kau bisa turun lagi
mengajak lelaki berdosa ini
berbicara tentang dosa dan pahala
hujan
kumerindu suaramu...

Thursday, May 13, 2010

Kuala Lumpur Menjerit !

Kuala Lumpur menjerit,
Jeritan pemimpin,
Jeritan perusuh,
Jeritan pengemis,
Jeritan gelandangan,
Jeritan bajingan,
Jeritan bapak ayam.

Kuala Lumpur menjerit lagi,
Jeritan penjual ubat,
Jeritan peraih ikan,
Jeritan penjual koran,
Jeritan penjaja pisang,
Jeritan sang seniman jalanan.

Kuala Lumpur menjerit perit,
Jeritan mat rempit,
Membelah malam membungkus dinihari,
Mengira detik kematian tragis,
Membongkar misteri Kuala Lumpur,
Menghampar dosa,
Mengusung keranda,
Kuala Lumpur rebah,
di dada malam yang panjang...