BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 25, 2011

Ceritera di Warung Sate Sekinchan

Seusai maghrib merebah dadanya lara,
kuatur kembaraan ini menuju gelisah malam,
di sebuah warung sate yang mengamit wangi serai kuahnya,
aku mampir menghulur salam kepadanya,
tukang sate yang kehilangan pelanggan,
yang tinggal hanya seorang kembara,
itulah aku.

Tukang sate tiba-tiba berbicara tentang,
harga sate yang wajib dinaikkan walau tanpa pelanggan,
angkara kenaikan harga petrol dan barang makan,
aku tersenyum kerana masih ada tukang sate ,
yang masih mampu membaca denyut nadi kepayahan,
rutin hidup rakyat marhain yang terpenjara,
dalam permainan pasaran manusia.

Sedang tukang sate membakar satenya yang hangat,
sehangat semangatnya sebagai rakyat marhain,
aku tergamam tika seorang remaja meluru padaku,
dia mencium tanganku,
dan memperkenalkan diri dengan wajah yang berpeluh,
di tangannya ada sebatang pena dan kertas pesanan,
cik gu terima kasih kerana merotanku dulu,
aku terharu dalam seusai umur sebagai cik gu,
seorang anak murid yang pernah kurotan tangannya,
mencium tangannku yang pernah merotannya,
tangan siapa yang lebih mulia?

Terima kasih ya Allah,
kerana masih ada anak muridku,
yang sudi mencium tanganku,
yang dilumuri dosa...

Thursday, February 17, 2011

SEKETUL HATI SEORANG DAI'

Seketul hati seorang dai'
adalah laut dalam tidak terduga
gelora keresahan melanda sukma
membadai karang munajat
menuju pantai harapan
membawa khabar harap
menitip salam kasih
damai dan abadi.

Seketul hati seorang dai'
adalah hujan rahmat yang menujah bumi
merekah lahan subur kalbu
tanah gersang dan pejal merekah
menerima hidayah tulus
luhur dan tulus.

Seketul hati seorang dai'
adalah hari-hari semalam
yang tercicir di jalanan dan masjid
merakam perca kehidupan
untuk ditampal sebagai kapan
mengusung keranda rindu
ke rahap cinta
abadi.

Tuesday, February 8, 2011

Salam Kasih Buat Junjungan

Selamat menyambut kelahiran kekasih
dengan rasa tenang dan kasih sayang
harumkan alam dengan selawat tulus
meresap dalam sukma meresap halus
sakinah beradu dalam ranjang kalbu
berbunga rindu.

Tiada hadiah yang mampu kuhulur
Tiada diksi yang mampu terucap
segunung kesyukuran melimpah maya
kerana aku dilahirkan sebagai umatmu
terimalah aku ya Rasulullah
sebagai umatmu
yang karam dalam lautan duniawi
penuh permainan dan senda gurau
yang tidak bertepi.

Salam kasihku buat junjungan
taman syurga yang kau tinggalkan
kusinggahi dengan mujahadah
kucari taman ilmu
kucari para dai'
kucari para murabi
kerana aku yakin sabdamu
bahawa di taman itu penuh buah-buahan
ilmu dan zikir
hikmah dan fikir
salam kasih buat junjungan
kumerinduimu.