Selamat tahun baru
buat warga Kuala Lumpur
selamat tahun baru
buat warga dunia
selamat tahun baru
buat para pemimpin
buat rakyat marhain.
Selamat tahun baru
buat para gelandangan
buat para pengemis
buat seniman jalanan
buat raja jalanan
buat penjual koran
buat penjual gudang garam
buat pemandu teksi
buat penarik beca
buat penjual nasi lemak
buat penebar roti canai
buat tukang gunting
biarkan Kuala Lumpur menjerit
malam ini
sampai rebah di kaki pagi
malaikat maut setia menanti.
Selamat tidur Kuala Lumpur
matikan segala lampu neon
matikan segala maksiat
matikan segala kebejatan
hidupkan pelita iman
di ambang tahun baru
selamat tidur Kuala Lumpur
besok kau bakal bangun
seperti hari-hari semalam
yang tercicir dalam lumpur noda
sampai bila?
Friday, December 31, 2010
Selamat Tahun Baru Kuala Lumpur
Wednesday, December 8, 2010
SALAM HIJRAH BUAT SANG PENDOSA 1
Selamat berhijrah
Sang pendosa
Mari kita mandi di kolam hayat
Lima kali sehari semalam
Hiasi wajah kalian dengan wudhu
Hiasi bicara kalian dengan zikir
Sirami lahan subur sisa umur
Dengan sungai taubat nasuha
Mengalir perlahan dalam diam
Meresap sukmalara hayat.
Selamat berhijrah
Sang Pendosa
Hari makin malam
Umur makin pendek
Jangan biarkan malam berlalu
Tanpa tahajud
Tanpa tangisan
Tanpa taubat.
Selamat berhijrah
Sang Pendosa
Masih adakah esok untuk kita?
Friday, December 3, 2010
Ziarah 1
Terima kasih Al-Rahman
kerana mengizinkan aku berziarah
dari pintu hati ke pintu hati
membawa segunung rahmat-Mu
meluluhkan lahar dosa
dari celahan dan kedutan jemari
sang pendosa
itulah aku.
Terima kasih Al-Rahman
kerana mengizinkan aku berbicara
tentang pahala dan dosa
tentang akhirat dan dunia
yang bakal menjadi pertaruhan
di alam abadi.
Terima kasih Al-Rahman
kerana memberi ruang umur di taman ilmu
mengutip kebesaran-Mu di dada langit
mencampakkan aku di sumur muhasabah
bahawa aku
adalah sang pendosa itu
yang lelah dalam ziarah ini.